Tuesday 12 April 2011

ASAL USUL BEBUDAK JALAN ROBINSON - 1

Assalamualaikum ya bakal ahli kubur. He he… saja ingatkan kematian. Ada satu hadis, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati pemusnah kelazatan (mati).” Mengingati mati bermakna mengingati berakhirnya amalan di dunia. Hm…

Apa-apa pun, di sini, sama-samalah kita berdoa agar segala amalan baik diterima Maha Pencipta, dan segala yang buruk perangai terhindar dari perlakuan seharian kita. Amin.

Baik. Hadirnya Bebudak Jalan Robinson di sini adalah untuk berkongsi pengalaman. Biasalah… makin meningkat usia makin banyak pengalaman, dan banyak pula cerita nak disampaikan. Kita hidup mestilah ada cerita ya tak… kalau tak ada cerita nanti jadilah kita seperti tunggul kayu (rasanya tunggul kayu pun ada ceritanya juga).

Tuan Guru Nik Aziz pun ada beritahu, katanya, “Orang yang tak ada cerita hidup dia ni serupa tembok. Orang ramai lalu-lalang cuma perhati imbas saja. Dia ada atau tak ada duduk situ tak ada orang peduli. Orang macam ini tak hidup pun tak apa. Buat baik pun tak, buat jahat pun tak. Hidup dia kosong.”

Jadi, oleh kerana kami ni dah banyak pengalaman (sebab dah lanjut usia heh!), makanya tak menjadi kesalahan untuk kami ceritakan di sini. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Siapa-siapa dia yang dikatakan ‘kami’ ni? ‘Kami’ ialah… ermm… tak apa. Saya ceritakan dulu sejarah Bebudak Jalan Robinson dulu ye.

Timbulnya panggilan Bebudak Jalan Robinson ni ialah semasa saya menuntut di Cairo, Egypt dulu lagi. Masa tu saya tinggal bersama seorang pelajar dari Thailand, seorang pelajar dari Singapura, dan seorang pelajar dari Gombak. Kami berempat. Kami menyewa di sebuah apartment yang terletak di daerah bandar Roxy (Metropolis), dan nama jalannya ialah Syare’ Robinson (Jalan Robinson).

Jiran-jiran kami yang tinggal dalam bangunan lima tingkat (setiap tingkat ada dua apartment) itu pula ramai kalangan ajnabi (foreigner); Greece, Turkey, Morocco, Italy, Yugoslavia dan sedikit tempatan.

Untuk pengetahuan, pada ‘zaman’ tu pelajar Malaysia yang belajar di Universiti al-Azhar tak berapa nak ramai, sekitar seribu lebih sahaja. Manakala pelajar Malaysia yang belajar di universiti selain al-Azhar pula hanya tujuh orang (termasuk saya).

Ketika itu, bagi pelajar Malaysia yang bukan belajar di Universiti al-Azhar, tiada keistimewaan yang mereka dapat; penginapan, bekalan makanan, pengangkutan dan sebagainya. Segalanya ditanggung sendiri dengan usaha sendiri untuk hidup jauh daripada keluarga. Sedih… tapi oleh kerana itu, saya dapat lebih banyak pengalaman daripada sepatutnya heh!

Lupakan kisah emosi yang tak tentu pasal tu. Macam mana boleh kenal sahabat bertiga tu? Memang saya nak cerita ni. Pada asalnya saya seorang saja yang tinggal di Jalan Robinson tu. Itupun secara kebetulan setelah saya diperkenalkan kepada tuan rumah, Ammu Ibrahim oleh Ammu Mahmoud, seorang jemaah masjid yang dipayungi Ikhwan al-Muslimin.

Ammu Mahmoud ni sebenarnya adalah seorang ‘bawwab’ (jaga bangunan lima tingkat tu). Saya pula selalu berehat di masjid dekat situ. Masa tu, saya duduk sementara di Omar Effendi, rumah keluarga angkat (biasanya pelajar baru dimestikan tinggal bersama keluarga angkat terpilih untuk menyerasikan diri dengan kehidupan di situ selama tiga bulan). Daripada situlah kami berkenalan.

Lama kelamaan, Ammu Mahmoud memperkenalkan saya dengan Ammu Ibrahim yang tinggal di tingkat lima. Langsung Ammu Ibrahim menjadi tuan rumah sewa saya (apartment tingkat paling bawah). Semasa saya melangkah pindah ke situ, Ammu Mahmoud berbisik dalam bahasa Mesir, “Kalau nak cari jodoh dengan foreigner, di sinilah tempatnya.” Saya diam terpaku. Bagus juga tu ye. Hmm… apapun, saya betulkan niat, saya datang ke Cairo ni adalah untuk menuntut ilmu (tapi saya rasa niat saya tu tak ikhlas heh!).

Petang tu, sedang saya mengemas, saya terdengar loceng pintu menandakan ada orang di luar yang inginkan saya bergerak untuk membuka pintu dan melihat siapakah dia. Saya langsung mengikut naluri yang tertulis tadi.

Pintu utama pun saya buka dan terlihat… gulp! Ada sebab tertentu Allah menggerakkan hati seorang perempuan Arab yang cantik ini untuk berdiri di balik pintu rumah sewa saya ni. Hmm.. saya perlukan masa untuk menceritakan kisah seterusnya.